Sayang Malaysia

Posted by Admin 15/09/2021 0 Comment(s)

Bulan Ogos merupakan bulan kemerdekaan negara. Manakala 16 haribulan September merupakan Hari Malaysia. Nilai patriotik perlu disemai. Tak kenal maka tak cinta. Memupuk rasa sayang anak kecil terhadap negara Malaysia ada pelbagai cara. Sudah tentu, untuk anak kecil, caranya perlu menyeronokkkan barulah ia terkesan di dada. Pelbagai aspek juga boleh disentuh untuk mereka berkenalan dengan negara sendiri, selangkah demi selangkah. Jika mahu diungkap sejarah negara, terlalu banyak perlu dihuraikan. Untuk anak kecil, kita mulakan dengan ilmu dan langkah yang kecil dahulu.

 

1) Pakaian Tradisional

Bermula dengan pakaian kebangsaan negara, anak-anak perlu tahu baju tradisional setiap kaum utama yang menjadi kebanggaan negara kita. Baju kurung dipilih sebagai pakaian tradisional wanita Melayu itu juga punya sebab tersendiri. Baju kurung boleh dijumpai setiap hari digayakan oleh wanita Malaysia hari ini. Dalam satu institusi pekerjaan, pasti akan ada yang memilih busana baju kurung. Baik kanak-kanak mahupun yang dewasa. Tidak kira kaum. Baju rasmi sekolah juga merupakan baju kurung. Itu belum tiba perayaan Hari Raya. Baju kurung digayakan dengan penuh warna warni. Lelaki pula dengan baju Melayu, siap dengan sampin penambah seri. Anak kecil juga dibiasakan untuk memakai pakaian ini sejak mereka lahir. Ia pakaian tradisi. Ia menandakan kita sayang budaya dan negara kita hari ini.

 

2) Permainan Tradisional

Antara yang menarik untuk diperkenalkan kepada anak-anak ialah permainan tradisional Malaysia. Permainan lama penuh dengan gaya dan ilmu yang tersirat di sebaliknya. Orang lama juga sangat kreatif dalam mencipta permainan minda bertaraf dunia. Mereka hanya menggunakan bahan terpakai sedia ada. Tidak perlu membeli di pasaraya mahal untuk mainan seperti hari ini. Permainan seperti lompat getah, baling selipar, tarik upih, tarik tali, sepak takraw, gasing, tengteng, batu seremban dan banyak lagi, semua boleh di main tanpa memerlukan modal yang besar. Hanya semangat kesukanan dan setia kawan yang membawa permainan ini bersatu. Siapa yang pernah main permainan seperti ini ketika kecil pasti akan ingat sahabat mereka ketika itu sehingga tua. Ia kenangan manis yang tidak dapat dilupa.

 

3) Makanan Tradisional

Selain permainan dan pakaian, makanan antara sesuatu yang mudah menarik minat anak kecil untuk belajar. Jika mahu disenaraikan makanan tradisional Malaysia, cukup banyak sekali. Kuih sahaja mungkin beratus menu yang kita ada. Kuih tradisional lama dan baru aneka bentuk dan rasanya. Itu belum dibahagikan mengikut kuih keistimewaan negeri yang ada. Itu belum campur nasi lemak, nasi dagang, nasi kerabu, nasi tumpang dan sebagainya. Malaysia ini kaya dengan makanan, alhamdulillah. Itu sebab, rakyat negara kita sihat-sihat dan comel-comel orangnya. Mungkin cikgu boleh membuat demo masakan secara atas talian mengikut tema zaman atau negeri untuk Tuan Muda dan Cikpuan Muda.

Nilai patriotik bukan sahaja perlu dilentur di tadika, namun pembelajarannya perlu terus disambung di rumah juga. Negara kita, tanggungjawab kita. Kalau bukan kita yang sayang pada tanah yang kita pijak hari ini, siapa lagi mahu memperjuangkan haknya suatu hari ini. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Hari ini, bumi kita Malaysia. Maka, langit kita juga Malaysia.

 

Sumber: www.tadikaabs.com

Tags: Negara

Leave a Comment