-
Your shopping cart is empty!
Sifat semulajadi anak-anak terutamanya yang berumur antara 4 hingga 6 tahun, mereka sentiasa aktif, ingin mencuba sesuatu dan berimiginasi. Walaupun mereka sudah mempunyai pelbagai alat permainan, mereka masih mahu mencuba apa yang ada di sekeliling. Tidak hairan jika ada bedak yang terkorban, atau gincu ibu yang dijadikan pen, mahupun ruang tamu yang diubahsuai menjadi taman permainan!
Kami kongsikan 5 aktiviti harian yang boleh dilakukan bersama untuk mengelakkan anak-anak berasa bosan. Aktiviti-aktiviti ini dapat menjauhkan mereka daripada gajet dan mengeratkan ikatan kekeluargaan!
#1.Dinding “Ajaib”
Anak-anak kreatif dan suka berimiginasi?
Biasanya pada peringkat umur begini mereka gemar menconteng dinding. Pantang terjumpa pensel atau krayon, dinding akan menjadi tempat mereka berkarya.
Jangan berasa tertekan atau nak marah. Apa yang boleh dibuat ialah tampalkan kertas mahjong pada dinding rumah. Pilih bahagian dinding yang agak sesuai untuk aktiviti ini. Tampal seluas yang boleh. Sediakan peralatan seperti pensel, pensel warna dan krayon, Jika mahu lebih menarik boleh juga sediakan berus dan warna air. Terangkan peraturan asas seperti:
“Hana boleh tulis di dinding ini sahaja”
“Selepas selesai, simpan pensel dan krayon disini”
Aktiviti ini memerlukan panduan dan bimbingan ibu bapa. Pada peringkat awal laksanakan aktiviti ini bersama-sama, melukis dan mewarna. Berikan mereka ruang untuk berkarya dan mencipta kreativiti sendiri.
Paling penting ibu bapa harus bersabar dengan mereka.
Dinding ajaib ini akan menjadi tempat utama mereka meluahkan idea dan imaginasi mereka. Rakam gambar hasil kreativiti sebelum ditukar ke kertas yang baru apabila ruang ini sudah penuh. Sudah tentu ia akan menjadi kenangan yang bermakna apabila mereka besar nanti.
#2. Latih anak kemahiran asas dan pengurusan diri
Pasti ada anak-anak yang rajin menyibukkan diri untuk membantu ketika ibu melaksanakan tugasan harian. Aktiviti mengemas rumah akan lebih seronok jika melibatkan anak-anak.
Biarkan mereka menyapu, mop lantai dan sebagainya. Aktiviti sebegini amat bagus untuk meningkatkan lagi kemahiran kendiri mereka. Pejamkan mata pada kekurangan. Tunjukkan cara yang betul. Kemahiran ini akan bertambah baik dari masa ke masa.
Dengan aktiviti ini anak-anak akan faham keperluan menjaga kebersihan diri, tempat tinggal dan persekitaran rumah. Tambahan pula dengan situasi Covid 19 ini, adalah penting kita mengamalkan kebersihan.
Dibawah ini adalah contoh aktiviti mudah yang boleh dilaksanakan mengikut umur :
.
#3.Memasak!
Aktiviti ini sebenarnya sangat digemari oleh anak-anak.
Luangkan masa untuk memasak bersama mereka. Jangan lepaskan peluang untuk cuba menu-menu viral ketika waktu PKP ini. Pilih menu yang mudah. Memasak bukan sahaja menyeronokkan malah dapat meningkatkan lagi kemahiran mereka.
Ibu-ibu boleh menentukan tugasan yang perlu dibuat seperti menyediakan bahan-bahan yang mudah, menyukat tepung, menuang dan mengacau adunan. Pasti mereka rasa bangga dan dihargai. Sekali gus anak- anak teruja membantu ibu di dapur.
Sambil-sambil itu boleh terangkan secara ringkas fungsi bahan-bahan seperti yis, soda bikarbonat, cuka dan sebagainya. Secara tidak langsung mereka sebenarnya dapat belajar banyak perkara!
.
#4.Bermain
Cipta kemesraan bersama anak- anak dengan bermain bersama di rumah. Bermain monopoli, jutaria, permainan video dan sebagainya. Dalam pada itu, boleh juga bermain permainan tradisional seperti batu seremban, congkak, dam haji dan lain- lain bagi mengembalikan nostalgia. Pasti meriah dan mengujakan!
.
#5.Berkebun
Terperap sahaja di dalam rumah mungkin agak bosan. Ajak anak- anak berkebun, menanam sayur atau pokok hiasan.
Bagaimana pula jika tinggal di pangsapuri? Boleh sahaja, yang penting ada balkoni untuk meletakkan tanaman anda. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan malah ia juga boleh menyihatkan minda, fizikal dan emosi.
Sambil- sambil bercucuk tanam dapat juga mengenal jenis- jenis tanaman.
Pilih tanaman yang mudah, contohnya menanam kangkung, bayam ataupun pokok kekacang.
.
Semua aktiviti ini bukan sekadar dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, namun sudah pasti dapat meransang minda, meningkatkan kreativiti serta daya imaginasi dan melatih kemahiran menyelesaikan masalah dikalangan anak-anak. Ibu bapa haruslah sentiasa bersabar dan terbuka dalam beraktiviti bersama anak-anak. Selamat beraktiviti!
Tulisan ini diterbitkan di www.tadikaabs.com
Ditulis oleh: Aznida Ramli
Leave a Comment