Tafsir Al Quran Nik Abdul Aziz Nik Mat (Surah An Nas, Surah Al Falaq & Al Ikhlas)

Tafsir Al Quran Nik Abdul Aziz Nik Mat (Surah An Nas, Surah Al Falaq & Al Ikhlas)

Selepas Surah al-Fatihah, Surah al-Nas, Surah al-Falaq dan Surah al-Ikhlas ialah trio surah yang dekat di hati orang Islam di Alam Melayu khususnya. Kita mengenal tiga surah ini sejak sedari kecil lagi dengan nama Tiga Qul. Dibaca hampir setiap hari tanpa memahami maksud setiap kalimah dan ayatnya ketika itu.

Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah memberitahu bahawa surah pertama yang dihuraikan di Masjid Pulau Melaka apabila baru sahaja pulang daripada melanjutkan pelajaran di luar negara ialah Surah al-Nas. Beliau mengetahui surah ini dekat di hati orang Melayu.

Walaupun kita tidak ada rakaman huraian pertama pada tahun 1962 itu. Tetapi melalui buku tafsir ini, kita boleh andaikan ia seakan sama pengisiannya di saat kali pertama diucapkan. Tambahan pula Tuan Guru mengaitkan pula hubungan Surah al-Nas dengan Surah al-Fatihah sebagai surah yang terakhir dan surah yang pertama.

Huraian kembar Surah al-Nas iaitu Surah al-Falaq yang diturunkan bersama sekaligus akan melengkapkan lagi kefahaman kita terhadap dua surah yang digelar al-Mu'awwizatayn iaitu dua perlindungan. Meminta perlindungan daripada Allah daripada segala gangguan yang wujud di dunia ini sama ada daripada kalangan jin dan manusia.

Setiap deruan untaian kata-kata Tuan Guru menghuraikan surah-surah ini akan 'memanaskan' ruang fikiran kita sehingga dapat meruntuhkan pegangan lapuk yang sering disalahfahami selama ini. Kita menyangka dua surah ini hanyalah ayat-ayat jampi untuk menghalau hantu dan syaitan, sedangkan ia lebih dari itu.

Surah al-Ikhlas pula surah utama dalam memahami tentang ketuhanan dan aqidah Islam. Tuan Guru yang sentiasa teguh dan tegak membawa tema tauhid kepada Allah, menghembuskan butiran mutiara berharga bagi mempateri lebih kukuh pegangan tauhid pendengar dan pembaca.

Justeru, pasak kefahaman daripada Tiga Qul ini akan menenangkan hati yang duka, menggembirakan hati yang gundah gulana. Keyakinan kepada Allah akan semakin bertambah melalui lisan bicara Murabbi Ummah,Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

SURAH AL-NAS

Allah Taala bersifat tiga perkara. Rabb (pendidik), Malik (raja) & Ilah (tuhan). Ketiga-tiga itu kita minta digunakan sepenuhnya untuk melindungi kita daripada was-was & ragu-ragu.

Kalau ragu juga, maka kamu tidak mukmin, tidak muttaqin (orang bertaqwa) dan tidak ikhlas. Ketiga-tiga ini syarat bagi hendak masuk syurga akhirat kelak.

Allah minta kepada manusia supaya ikhlas beribadat dengan Dia. Kita kena merendah diri, kena tunjuk hina kepada Allah. Apa yang Dia suruh, kena buat.

Manusia ini hamba Allah Ta’ala. Bukan rakyat Tuhan, bukan kawan Tuhan, tetapi hamba Tuhan.

Kaedah hamba, kuli, buruh, mesti patuh pada kehendak Allah. Benda-benda dan perumpamaan begini kena benar-benar ingat hadirin semua.

 

SURAH AL-FALAQ

Islam ajar kepada kita, bahawa kamu wahai manusia, takdir dan nasib kamu, Allah Ta’ala buat di atas dunia ini mempunyai banyak musuh.

Ada musuh yang nampak ditengok, kita panggil gajah, harimau, ular, lipan, kala jengking. Ini musuh yang dapat ditengok.

Satu lagi adalah musuh yang tidak nampak ditengok & ketua dia adalah syaitan. Syaitan, iblis dan hantu. Ini semua musuh kepada manusia yang Tuhan buat.

Akhirat kelak ada balasan baiknya untuk mana-mana orang melawan musuh-musuh yang tidak nampak ditengok, lawan syaitan yang duduk di luar daripada diri kita, lawan nafsu yang duduk dalam diri kita.

Kita lawan sungguh-sungguh serupa yang Nabi Muhammad ajar, kita boleh pahala. Pahala ini tidak laku di dunia, tetapi laku di akhirat.

 

SURAH AL-IKHLAS

Ikhlas asal maknanya ialah tapis. Apabila kita tapis air, tapis apa sahaja sekali pun, tujuannya hendak ambil yang jernih. Hendak buang segala sampah-sarap, hendak buang segala karat dan kotor, biar benda itu jernih.

Al-Quran ini ada satu surah, namanya surah al-Ikhlas. Bagaimana dibentuk peribadi manusia supaya benar-benar kerja buat manusia ini ikhlas kerana Allah. Biar benda ini, barang bertapis, bersih kerana Allah Ta’ala.

Seperti kita turun dari rumah pagi ini, mari mengaji. Bukan kerana benda lain tetapi kerana betul-betul nak rapatkan diri dengan Allah Ta’ala melalui pengajian Kalamullah, kitab Dia sendiri.

Bagaimana kita hendak masuk rapat dengan Tuhan, kalau kita sendiri tidak tahu pun benda apa yang Tuhan hendak dan benda apa yang Tuhan setuju.

 

TAFSIR NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Setelah sekian lama menaruh harapan untuk menatap kembali kalam hikmah daripada seorang tokoh yang disegani di Malaysia Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Akhirnya tercapai juga harapan kali ini menatap setiap butir bicara hikmah menghuraikan Kalam Allah yang disampaikan setiap pagi Jumaat.

Penerbitan Tafsir Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah kesinambungan penerbitan tafsir yang pernah diterbitkan oleh beberapa pihak di era 90an.

Selepas 4 tahun Almarhum Tuan Guru meninggalkan kita, akhirnya penerbitan ini dapat direalisasikan.

 

KAEDAH PENULISAN DAN PENYUSUNAN

Transkripsi kuliah diambil daripada audio kaset kuliah Tok Guru. Audio kuliah akan ditranskripsi dengan ditaip setiap perkataan yang diucapkan oleh Almarhum Tuan Guru.

Teks transkripsi dikekalkan dalam sebutan dialek Kelantan, bagi memudahkan penyusun untuk memahami maksud penyampaian Almarhum Tuan Guru.

Transkripsi tersebut akan diedit dan disusun supaya dapat dibaca dan difahami oleh semua orang di Malaysia khususnya. Terdapat perkataan Kelantan yang dikekalkan bagi mengekalkan ucapan asal. Kemudian diletakkan maksud bagi setiap perkataan.

Proses edit juga mengekalkan gaya bahasa Tuan Guru yang disampaikan menggunakan dialek Kelantan.

Write a review

Note: HTML is not translated!
    Bad           Good

Captcha
  • Views: 255
  • Product Code: Pendidikan Al Quran
  • Availability: In Stock
0 Product(s) Sold
  • RM32.00

Tags: tafsir